|
Biografi
Tokoh-Tokoh
Ulama
Besar Mandailing
Wasiat Pedoman Ahli Keluarga
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
MANDAILING adalah satu istilah salah satu suku kaum yang tinggal
di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara. Marga Mandailing termasuk dalam
bahagian Marga Batak. Istilah Marga Batak adalah tidak asing bagi
masyarakat Indonesia, tetapi bagi masyarakat Malaysia ramai orang
beranggapan istilah "Batak'' itu adalah kurang sopan.
Perlu kita ketahui bahawa "Marga Batak'' majoriti adalah beragama
Kristian. Berbeza dengan "Marga Mandailing'' majoriti adalah
beragama Islam.
Sejarah mencatat bahawa sangat ramai orang Mandailing yang menjadi
ulama besar dan pengarang kitab. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution,
yang satu ketika dulu pernah terkenal adalah termasuk salah seorang
dari Marga Mandailing. Beliau ini sangat gigih mempertahankan bahawa
Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama yang sangat terkenal
adalah orang Mandailing, bukan orang Aceh.
Antara ulama Mandailing yang dapat dicatat ialah: Ulama Mandailing
yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili yang mengajar di Mekah
ada tiga orang. Mereka ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili,
mengajar di Masjid al-Haram, Mekah, beliau ini menghasilkan beberapa
buah karangan. Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Mandaili, salah
sebuah hasil karyanya ialah Tarjamah Matil Ajrumiyah. Syeikh Abdul
Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili, beliau ini memulai pendidikannya
daripada Syeikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him), Pondok Gajah Mati, Kedah.
Beliau inilah yang terbanyak menghasilkan karangan di antara ulama
yang berasal dari Mandailing. Ulama Mandailing yang lain pula ialah
Syeikh Ja'far, termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani
yang ditugaskan belajar di al-Azhar Mesir.
Riwayat semua mereka ditangguhkan, yang diambil data untuk artikel
ini hanyalah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili al-Khalidi
an-Naqsyabandi berasal dari Kampung Cu Badak, Mandailing, Sumatera
Utara kemudian pindah ke Selangor. Kedatangan Syeikh Abdul Ghani
bin Abdul Hamid al-Mandaili ke Selangor barangkali serentak dengan
kedatangan sekian ramai orang-orang yang berasal dari Minangkabau
dan Mandailing terutama sekali sewaktu bandar Kuala Lumpur mula
diteroka. Di antara orang-orang yang datang dari Minangkabau dan
Mandailing itu terdapat beberapa orang ulama. Ulama yang berasal
dari Minangkabau ialah Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi,
Kadi, Imam dan Khatib Kuala Lumpur yang pertama. Ulama yang berasal
dari Mandailing ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili
yang dibicarakan dalam artikel ini.
PEMBANGUNAN MASJID
Dari selembaran surat yang pernah disebarkan dan sebuah buku catatan
tulisan tangan beliau sendiri ternyata Syeikh Abdul Ghani bin Abdul
Hamid al-Mandaili berhasil membangun sebuah masjid di Kampung Selayang
dalam tahun 1917 M. Surat sebaran ditandatangani bersama oleh beliau
dan Raja Ali, Penghulu Mukim Batu, Kuala Lumpur ketika itu. Masjid
yang beliau bangun bersama murid-murid dan masyarakat tersebut masih
wujud sampai sekarang.
Dalam selembaran surat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili
menyatakan, "Iaitu adalah hamba hendak membangunkan sebuah
masjid di Kampung Selayang akan mengganti masjid yang telah sedia
lama di tempat itu. Oleh kerana masjid yang sedia lama itu tersangat
sudah uzurnya, dan sekalian pekakasnya sudah buruk belaka, bertambah
pula itu masjid tersangatlah kecilnya. Dan adalah selalu pada tiap-tiap
Jumaat tiada muat orang-orang yang datang sembahyang Jumaat. Dan
oleh hal yang demikian inilah hamba hendak bangunkan sebuah masjid
baru dan bangunnya dengan 3 tingkat. Dan lantai, tiang, serta dindingnya
daripada batu dan atapnya daripada genting. Dan lain-lain pekakasnya
daripada kayu yang keras. Dan tinggi temboknya daripada tanah 3
kaki. Dan panjang serta lebarnya 50 kaki persegi. Dari hal belanjanya
itu telah ditaksirkan dengan kasar sahaja dengan $ 3,000.00 (tiga
ribu ringgit Inggeris).''
PENULISAN
1. Aqidatul Iman, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Negeri Kelang,
Kuala Lumpur, hari Isnin, jam 4.00, 17 Rabiulawal 1323 H. Kandungan
membicarakan akidah, fiqh yang fardu ain dan tasawuf secara ringkas.
Dicantumkan juga Ratib al-Haddad dan selawat atas Nabi s.a.w. Dicetak
dengan huruf batu (litografi). Nama pencetak dan tarikh tidak dinyatakan.
Catatan: Pengarang memberikan iklan, ``... Dan barangsiapa berhajat
akan ini kitab boleh datang di rumah kita di Pinang Baik atau di
rumah Haji Muhammad Thaiyib di Batu adanya''. Sesudah ditutup pada
halaman 23 di atas terdapat lagi lima halaman sebagai tambahan membicarakan
ilmu pelangkahan dan beberapa qasidah. Pada halaman tambahan pengarang
menyebut nama lengkapnya dengan tambahan "al-Khalidi an-Naqsyabandi''
berasal dari Cu Badak Mandailing.
2. Kitab Syair Nashihat, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang,
Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan
untaian syair dalam bahasa Melayu merupakan nasihat pengarang supaya
berpegang teguh kepada agama Islam. Cetakan yang pertama Mathba'ah
Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1342 H.
3. Terjemah Nazam Akidah Awam dan Syair Nasihat, diselesaikan di
Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor,
pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan terjemahan Akidah Awam yang diberi
gantungan maknanya dalam bahasa Melayu dan disertakan dengan syair
Melayu yang terdiri banyak bait dan ilmu raksi. Dicetak oleh Haji
Abdullah bin Muhammad Nuruddin ar-Rawi/Rawa, 59 Achen Street, Penang,
13 Jumadilawal 1345 H.
4. Risalah Nasihat dan Jaga-jaga Hati, diselesaikan: 25 Rabi'uts
Tsani 1346 H. Kandungan nasihat-nasihat pengarang supaya mengamalkan
perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya. Dicetak oleh Malayan Press,
183 Batu Road, Kuala Lumpur tanpa dinyatakan tarikh. Cetakan yang
kedua Mathba'ah Al-Zainiyah, 185 Main Road Taiping, Perak, 1347
H. Cetakan yang kedua dengan ukuran lebar dan tercantum selembar
surat wasiat pengarangnya.
5. Risalah Pohon Peringatan dan Jaga-jaga Hati Bagi Agama diselesaikan
di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor,
pada 14 Rejab 1348 H bersamaan 15 Disember 1929 M. Kandungan nasihat-nasihat
pengarang supaya mengamalkan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya.
Cetakan yang pertama Selangor Press, Kuala Lumpur, 1348 H.
6. Kaifiyat Thariqatin Naqsyabandiyah, masih dalam bentuk manuskrip.
Kandungan membicarakan cara-cara mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyah
Khalidiyah.
WASIAT
Memang terdapat hadis Nabi s.a.w. supaya kita berwasiat sebelum
meninggal dunia, namun tidak semua orang dapat melaksanakannya.
Orang-orang sufi sangat memandang penting perkara wasiat, oleh itu
Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili yang termasuk salah
seorang khalifah dalam Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah juga menulis
wasiat yang beliau sebarkan dalam salah sebuah karangannya. Di antara
kandungan wasiat itu ialah, ``Wasiat sahaya, nama Syeikh Abdul Ghani,
Kampung Selayang, Mukim Batu Kuala Lumpur, pada 26 haribulan Januari
1928 bersamaan 3 haribulan Syaaban 1346. Pada masa inilah sahaya
Syeikh Abdul Ghani ibnu al-Marhum Haji Abdul Hamid memperbuat satu
Surat Wasiat beri pegang kepada waris sahaya dan wakil sahaya. Bahasa
sahaya nama yang tersebut di atas ini ditakdir-Nya jikalau sahaya
mati. Fasal harta benda sahaya beberapa yang ada lebih daripada
pembayar hutang sahaya takdir-Nya jikalau ada sahaya berhutang.
Maka itu harta dibahagi atas tiga bahagi. Maka satu bahagi: Minta
dijalankan apa-apa yang membagi faedah di atas diri sahaya kemudian
daripada mati. Seperti fidiyah sembahyang, dan fidiyah puasa, dan
upah haji, dan Quran, dan korban, dan membaca tahlil, dan lainnya.
Dan yang dua bahagi lagi itu: Minta dibagikan kepada waris sahaya
yang ahli pusaka beberapa yang ada ahli pusaka mengikut sepanjang
hukum syarak. Minta dibahagi dengan hukum faraid seperti yang tersebut
di dalam Quran. Hal inilah dimaklumkan kepada sekalian ahli waris
sahaya atau kepada siapa-siapa yang melihat ini surat. Dan sahaya,
waktu memperbuat ini wasiat waktu badan sahaya lagi sihat dan akal
sahaya lagi sempurna. Sah dengan nyatanya, tidak boleh didakwa dan
dakwi pada kemudian hari kerana sudah turun tanda tangan sahaya
di bawah ini surat ...''
Dari wasiat di atas dapat diketahui bahawa Syeikh Abdul Ghani bin
Abdul Hamid al-Mandaili adalah termasuk ulama ``Kaum Tua'' kerana
beberapa perkara yang dianggap bid'ah oleh ``Kaum Muda'' tetap beliau
pertahankan dalam wasiat tersebut di atas. Fidiyah sembahyang adalah
berasal dari Mazhab Hanafi, beberapa orang ulama besar dalam Mazhab
Syafi'ie di antaranya Imam as- Subki membolehkan bertaqlid mengerjakan
fidiyah sembahyang yang tersebut. Di dunia Melayu semua ulama Syafi'iyah
silam menganjurkan amalan fidiyah sembahyang itu, maka dalam masa
yang relatif lama telah diamalkan oleh umat Islam di seluruh pelosok
dunia Melayu.
Selain fidiyah yang dibidaahkan oleh Kaum Muda pula termasuklah
tahlil untuk orang yang meninggal dunia. Sama ada fidiyah sembahyang,
tahlil mahu pun amalan-amalan lain yang pernah ditulis dan dikerjakan
oleh para ulama silam tidaklah dapat dituduh sebagai bid'ah kerana
ada dalil-dalil atau hujah-hujah yang kukuh untuk beramal dengannya.
Sesuatu amalan yang betul berdasarkan dalil tetapi ada pihak lain
menolaknya itulah yang diistilahkan dengan "khilafiyah''. Selagi
sesuatu bernama "khilafiyah'' maka tiadalah patut seseorang
itu berbangga diri menuduh orang lain salah lalu beranggapan dirinya
sendiri saja yang benar. Yang terpenting bagi kita bukanlah menyalahkan
amalan orang lain tetapi adalah kita sendiri mestilah banyak beramal
untuk kepentingan umat yang kita tinggalkan setelah mati. Lebih
penting pula, ketika kita berada dalam kubur dan selanjutnya bahawa
ada amalan kita tiada berkeputusan, itulah yang dinamakan amal jariah.
Jika perkara tersebut ini dapat kita laksanakan, jadilah kita seorang
yang benar-benar bijak kerana dapat selamat kita hidup di dunia
dan kehidupan yang abadi di akhirat
Dalam Surat Wasiat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili
juga dapat kita ketahui bahawa beliau sangat bertanggungjawab terhadap
pembayaran hutang, kerana mengenai itu adalah merupakan perkara
yang diwajibkan. Mengenai pusaka yang ditinggalkan pula mestilah
dibagi berdasarkan faraid iaitu benar- benar menurut ajaran Islam,
bukan ajaran selainnya. Daripada huraian ini dapat disimpulkan bahawa
yang termaktub dalam "Surat Wasiat Syeikh `Abdul Ghani bin
`Abdul Hamid al-Mandaili'' adalah menepati ajaran Islam dan patut
menjadi teladan. Setiap insan Muslim sebelum meninggal dunia memang
perlu memperkemas wasiat untuk pedoman para ahli keluarga yang ditinggalkan.
|