|
Biografi
Tokoh-Tokoh
Syeikh
Juned and Pembaharuan Islam di Perak
Syeikh Juned, putra Mandailing dari Maga, dikatakan mempunyai "fahaman
muda" dan beliau mengembangkan fahaman tersebut secara hikmah
dan tidak secara konfrontasi. Di Padang Rengas suatu pengajian pondok
telah dikenali sejak tahun lapan belas lima puluhan, yang didirikan
oleh seorang ulama yang lari dari pulau Jawa kerana menentang sistem
kultur (sistem tanaman paksa) yang dikuatkuasakan oleh penjajah
Belanda di pulau itu. Namanya Haji Abdul Manan. Beliau berasal dari
Pesantren Ambal. Dalam usahanya ini beliau disokong oleh Tok Paduka
Abdul Latif, seorang pembesar jajahan.
Usaha beliau ini kemudian dilanjutkan oleh anaknya, Haji Nur. Kemudian
digantikan oleh menantunya Haji Saleh. Apabila Haji Saleh meninggal
dunia, maka pengajian pondok di Padang Rengas terhenti untuk seketika,
sebab tidak ada tokoh yang dapat meneruskan usaha pengajian ini.
Sampailah Syeikh Juned kemudiannya datang dan mengajar di Padang
Rengas.
Syeikh Juned dilahirkan pada tahun 1897 di Tarlola, sebuah kampung
kecil termasuk daerah Maga, Kota Nopan, Kabupaten Tapanuli Selatan
di wilayah Sumatera Utara, Indonesia. Beliau termasuk puak Mandailing
dengan marga (clan) Rangkuti.
Nama asal beliau ialah Simanonga. Pendidikan awal beliau ialah
sekolah desa (sekolah rendah tiga tahun) di kampung Maga. Beberapa
tahun kemudian beliau berpindah ke Tanah Deli (di Sumatera Utara
bahagian Timur), untuk kemudiannya pergi ke Besilam (Babussalam),
Langkat. Besilam dikenali sebagai sebuah pusat tarikat Naqsyabandi.
Pemukiman itu diasaskan oleh Syeikh Abdul Wahab Rokan.
Di Besilamlah beliau memulai pengajian agamanya. Sebab kesungguhan
beliau menuntut ilmu, beliau disayangi oleh Syeikh Abdul Wahab,
gurunya yang memberinya nama "Juned" mengambil nama seorang
ulama tasawuf yang terkenal, iaitu "Syeikh Juned al-Baghdadi".
Kemudian di belakang nama beliau ditambahkan (oleh siapa?) "Tola".
Menurut suatu pendapat kata itu singkatan daripada "Tarlola",
kampung kelahirannya. Namun, Datuk Haji Asri bin Haji Muda (Datuk
Asri), menantu allahyarham (Wawancara: 12 Oktober 1989) tidak dapat
memastikannya.
Namun, beliau masih bercita-cita hendak melanjutkan pelajarannya.
Untuk itu beliau merantau ke Tanah Melayu. Mula-mula beliau berguru
di Kedah di Pondok Haji Che Dol, Gajah Mati, dan kemudian disambung
oleh menantunya Syeikh Ibrahim (Pak Cu Hin) dan di Pondok Haji Hussain
Cik Dol di Guar Cempedak. Kemudian beliau pindah ke Bukit Mertajam,
Pulau Pinang, berguru dengan Tuan Haji Salleh Masri.
Oleh kerana kecerdasannya, seorang ulama di Padang Rengas membawa
beliau ke kampungnya, kemudian menikahkannya dengan anak perempuannya,
Sariyah binti Haji Said (1922). Tiga bulan kemudian Haji Said mengirim
menantunya, Juned belajar ke Universiti al-Azhar di Mesir. Turut
bersama beliau ke Mesir ialah iparnya, Haji Husin Said, dan Haji
Mohd. Zain Haji Noh. Menurut Datuk Asri, pada masa itu isterinya
sedang mengandungkan anaknya yang pertama. Pertemuan beliau dengan
puterinya yang pertama ini berlaku di Makkah.
Selama di Mesir beliau bukan hanya mencari ilmu tetapi juga berkecimpung
di dalam pergerakan pelajar Indonesia-Malaya. Mesir pada waktu itu
sedang bergolak menentang penjajahan. Juga sedang berkembang fahaman
"pembaharuan" Muhammad Abduh-Rasyid Ridh a. Hal ini menanamkan
semangat menentang penjajahan, yang kelak dibawanya pulang ke negerinya.
Beliau amat tertarik dengan institusi wakaf dan pentadbirannya,
sehingga mampu membiayai sebuah universiti yang besar seperti al-Azhar.
Beliau amat berminat dengan wakaf. Minatnya itu kemudiannya mendorongnya
untuk menulis sebuah buku kecil dengan judul Kaifiat mengadakan
Wakaf, yang diterbitkan di Mesir pada tahun 1927, dengan kata pengantar
oleh Syeikh Idris al-Marbawi yang terkenal di seluruh negara yang
berbahasa Melayu di Asia Tenggara kerana kamus Arab-Melayunya yang
dikenali dengan nama Kamus al-Marbawi. Kamus ini ialah kamus Arab-Melayu
yang terlengkap, bahkan sampai dewasa ini.
Menurut Datuk Asri, kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga serangkai:
Syeikh Idris al-Marbawi, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air,
karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai
pengarang kamus tersebut. Mohammad Redzuan Othman di dalam kertas
kerjanya pada Seminar Ulama Dalam Sejarah Perak (9 Julai 1989),
tentang peranan Syeikh Juned di dalam menjayakan Kamus al-Marbawi
mengatakan: Syeikh Juned juga banyak membantu Syeikh Idris al-Marbawi
dalam menyusun Kamus Arab-Melayu yang terkenal. Sebelum pulang ke
tanah air beliau sempat juga belajar kepada Syeikh Abdul Kadir al-Mandili,
salah seorang guru di al-Masjidil Haram pada ketika itu.
Dalam tahun 1926, Syeikh Juned kembali ke tanah air, bersama isterinya
dan puteri pertamanya, Sakinah (sekarang dikenali sebagai Cik Kinah
atau Datin Sakinah, isteri kepada Datuk Asri). Tidak berapa lama
kemudian isterinya, Sariyah meninggal dunia. Dalam tahun 1927, beliau
mengahwini seorang lagi puteri Haji Said, bernama Siti Hajar. Dalam
tahun 1934, beliau mengahwini lagi seorang isteri di Tapanuli Selatan
bernama Rokiah Haji Ibrahim.
Dalam tahun 1927, beliau telah mewujudkan suatu kelas pengajian
di sebuah surau dekat rumahnya di kampung Lalang, Padang Rengas.
Pelajar terdiri daripada penduduk Kampung Lalang dan kampung di
sekitarnya di dalam kawasan Padang Rengas. Ada bahagian untuk anak-anak
dan ada bahagian untuk orang dewasa. Pengajian ini mendapat sambutan
hangat daripada masyarakat kaum muslimin setempat. Kemudian pelajar
dari luar Padang Rengas berdatangan, seperti dari Temoh, Teluk Intan,
Bagan Serai, dan Parit. Memandangkan para pelajar semakin ramai,
maka didirikanlah pondok penginapan. Tok Maharaja Indera Haji Syukri
mewakafkan sebidang tanah untuk tapak pondok-pondok penginapan itu.
Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Abd. Rahim Datuk Panglima
Garang, Ketua Kampung Lalang pada ketika itu. Beliau juga mendapat
bantuan daripada beberapa tokoh yang mendapat didikan agama di Timur
Tengah dan juga daripada madrasah tempatan. Ke dalam kelompok ini
termasuklah nama-nama Haji Usman Ahmad, Haji Abdul Aziz Yaakub,
Haji Said, Haji Kasim, Haji Anjang Ahmad, dan Haji Ismail Moin.
Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Mohd. Zain Abd. Majid,
Haji Mohd. Zain Noh, dan Abu Bakar. Daripada sebuah pengajian kampung
dengan pesatnya ia berkembang menjadi sebuah pengajian pondok yang
mendapat sambutan ramai daripada masyarakat Islam negeri Perak.
Padang Rengas sekali lagi mengambil tempatnya sebagai pusat perkembangan
pengetahuan Islam menyambung institusi pesantren yang dahulunya
telah didirikan oleh Haji Abdul Manan.
Didesak oleh sambutan yang hangat terhadap pengajian pondok Syeikh
Juned, maka dalam tahun 1930 didirikan sebuah Madrasah Arabiah Kampung
Lalang. Sekolah ini terus berkembang pesat. Keadaan ini mendorong
berdirinya sebuah madrasah yang lebih lengkap dan lebih teratur,
dalam tahun 1931 dengan nama Madrasah Yahyawiah untuk mengambil
alih tempat Madrasah Arabiah. Nama Yahyawiah diambil daripada nama
Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, iaitu Datuk Andika Mior Yahya
Mior Syamsuddin yang menjadi penaung madrasah itu yang telah memberikan
sumbangan derma.
Oleh desakan yang kuat daripada masyarakat muslimin untuk membina
suatu pengajian yang berasingan bagi pelajar perempuan, maka Syeikh
Juned menaja pendirian sebuah lagi madrasah yang khas untuk pelajar
puteri. Beliau sesungguhnya ingin memberi peluang yang sama kepada
kaum perempuan untuk mendapat pelajaran. Semangat antipenjajahan
yang ada di dalam dirinya tidak mengizinkan anak-anak muslim bersekolah
di sekolah kerajaan yang mendidik mereka menjadi hamba British.
Puteri-puteri beliau sendiri, Sakinah dan Habibah dihantar belajar
ke Indonesia di Sekolah Diniah Puteri, Padang Panjang, Sumatera
Barat, sebuah sekolah agama yang mengikuti aliran pembaharuan. Dan
nama ini, Diniah Puteri, kemudian diambilnya untuk menamai madrasah
puteri yang baru didirikan itu. Madrasah itu dirasmikan dalam tahun
1935.
Madrasah ini mendukung idea pembaharuan. Menurut Mohd. Redzuan
Othman, sekolah ini adalah madrasah pertama di Perak yang mendukung
idea Islah (Kertas kerja, m.s. 14). Oleh sebab pendirian "pembaharuannya",
ia sering dikunjungi oleh tokoh-tokoh pembaharuan Islam, terutama
oleh Syeikh Tahir Jalaluddin yang juga sahabat karib kepada Syeikh
Juned. Di dalam madrasah ini pelajarnya bukan hanya ditumpukan kepada
pengetahuan agama Islam tetapi juga meliputi pelajaran dan latihan
kemahiran yang boleh dipergunakan untuk menampung keperluan hidup
duniawi. Kepada murid juga diajarkan membuat kicap, kacang masin,
bersawah, berkebun, membuat terompah (bagi pelajar lelaki-Yahyawiah)
dan menjahit (bagi pelajar wanita-Diniah Puteri).
Pelajar yang semakin ramai mendorong masyarakat Islam di sekitar
Padang Rengas untuk mendirikan madrasah seperti itu di kampung-kampung
lain. Maka berdirilah cawangan Madrasah Diniah dengan nama yang
berbeza tetapi dengan isi yang sama di berbagai-bagai tempat, seperti
Madrasah al-Ridzuaniah di Padang Asam, Madrasah al-Falahiah di Kampung
Buaya, Madrasah al-Nasriah di Padang Rengas, Madrasah al-Ijtihadiah
di Kampung Gapis, Madrasah al-Hadi di Kampung Pauh, Madrasah al-Bakariah
di Paya Lintah, Madrasah al-Zahiriah di Kampung Keruh Hilir, Madrasah
al-Iqtisadiah di Kampung Keruh Hulu, dan Madrasah Sabiyah al-Ahmadiah
di Kampung Laneh.
Pembaharuan Syeikh Juned mempunyai wajah lain jika dibandingkan
dengan pembaharuan di Perlis. Jika Perlis banyak menumpukan perhatian
kepada masalah khilafiah dan sunnah atau tidak sunnah, terutama
di dalam ibadah, maka Syeikh Juned bertumpu pada pembangunan mental
dan sikap. Beliau menekankan bagaimana semestinya seorang muslim
itu berfikir, berjuang, dan berekonomi. Beliau tidak memilih jalan
konfrontasi, meskipun beliau juga menentang bidaah, dan khurafat.
Beliau lebih mengutamakan hikmah dan mauizah yang baik. Sebab itu
beliau tidak menimbulkan ketegangan sosial.
Di sekolah yang ada di bawah bimbingannya, bukan hanya ilmu agama
yang diajarkan, tetapi juga cara hidup yang baik secara berdikari.
Menurut Datin Sakinah (Cik Kinah), puteri sulung Allahyarham (Wawancara:
12 Oktober 1989) beliau sering mengingatkan masyarakat Islam dan
pelajarnya: "Bagaimana kita hendak merdeka jika kita tidak
sanggup berdikari dalam kehidupan kita".
Sebab itu beliau sentiasa menghidupkan semangat berdikari itu dalam
kalangan pelajarnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Menurut
beliau ekonomi umat Islam hanya dapat dibina jika mereka sanggup
berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang bukan muslim.
Kekuatan politik juga dapat ditegakkan jika ekonomi kuat.
Menurut Mohd. Redzuan Othman, dengan menggalakkan umat Islam mewakafkan
tanah dan harta, beliau berusaha untuk mewujudkan ekonomi Islam
atas dasar bersama dan bantu membantu antara satu dengan lain. Di
atas tanah yang diwakafkan, beliau telah mengambil inisiatif untuk
memajukannya dengan menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan sebagainya.
Beliau sendiri menunjukkan kepada pelajarnya teknik pertanian yang
betul. Dari segi industri dan ekonomi beliau mempelawa beberapa
orang pembatik dan pembuat terompah supaya datang ke Padang Rengas
dan membuka perusahaan di sini. Dan sebagai hasil daripada usaha
ini, maka di Padang Rengas sendiri pada penghujung tahun tiga puluhan
terdapat lebih kurang 30 buah kedai yang semuanya kepunyaan orang
Melayu, terdiri daripada kedai kopi, kedai dobi, kedai getah, kedai
runcit, kedai gunting rambut, dan lain-lainnya.
Kesan usaha ini menanamkan ke dalam jiwa dan semangat orang Islam
percaya kepada diri sendiri dan keyakinan bahawa mereka juga boleh
melakukan sebarang pekerjaan yang selama ini dikuasai oleh orang
bukan Islam, asal saja ada kemahuan dan ada kesungguhan.
Kesan yang ketara pada masa itu, jumlah orang Melayu yang membeli
di kedai Cina tidak sampai 20 peratus. Itu pun mereka lakukan apabila
barang yang diperlukan itu kebetulan tidak ada di kedai Melayu.
Bahkan orang Melayu telah berasa malu membeli di kedai Cina. (M.
Sarim:152).
Hal ini semua boleh berlaku berkat kejayaan pimpinan ulama dan tokoh
yang bercita-cita pembaharuan Islam.
Bahkan lompatan ke depan daripada kelompok Padang Rengas ini semakin
jauh ke muka. Ia telah menyentuh aspek perjuangan politik untuk
memerdekakan tanah air daripada penjajahan British. Pada penghujung
tahun 1940-an, pondok di Madrasah ad-Diniah itu menjadi tempat berkumpul
pejuang Melayu menentang penjajahan. Bahkan pekarangan Madrasah
ini selalu dijadikan gelanggang latihan berkawad ahli-ahli Angkatan
Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang merupakan
sebahagian daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Madrasah ad-Diniah Padang Rengas ini kadang-kadang dilawati oleh
tokoh pimpinan Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Majid Sabli dan
Pakcik Ahmad. Kadang-kadang juga kader-kader komunis seperti Rasyid
Maidin dan Syamsiah Pakeh datang berkunjung ke sekolah ini dan memberi
ceramah tentang keburukan feudalisme dan penjajahan.
Peningkatan kesedaran politik dalam kalangan para pelajar dan pemuda
kampung itu nampaknya didorong oleh pengaruh guru-guru Madrasah
tersebut.
Beberapa orang guru kelulusan beberapa buah sekolah di Indonesia,
sama ada orang dari luar atau anak tempatan sendiri mengajar di
Madrasah ini. Demikianlah beberapa nama yang disenaraikan di bawah
ini ialah guru-guru yang mendapat pendidikan di Indonesia: Aisyah
Ghani, Abd. Kadir dari Sulawesi, Darwis, Syahrom Syeikh Muhammad,
Kalsum, dan Sakinah Juned. Mereka ini adalah kelulusan berbagai-bagai
madrasah dari aliran pembaharuan di Indonesia.
Menurut Datuk Asri, Allahyarham menganut akidah yang sederhana,
tidak berliku-liku dan berbelit-belit. Selain Padang Rengas, beliau
juga mengajar di tempat-tempat lain di negeri Perak. Beliau menentang
perkara khurafat. Beliau tidak pernah menyuruh orang menghafaz Sifat
Dua Puluh. Di dalam fikah juga beliau bersifat sederhana. Meskipun
beliau menganut aliran pembaharuan yang hendak kembali kepada ajaran
al-Quran dan al-Sunnah, namun beliau tidak membezakan orang yang
berusalli dengan yang tidak berusalli. Beliau mengajarkan salat
kepada orang yang baru belajar sembahyang adalah dengan cara yang
sederhana. Biarlah orang itu mengerjakan salat mengikut cara yang
disanggupinya terlebih dahulu.
enurut Datuk Asri, semangat kemerdekaan memang telah tertanam di
dalam darah daging beliau. Dalam setiap ucapannya ia menyebut kemerdekaan
dan menggalakkan umat untuk berjuang mencapai kemerdekaan.
Beliau meramalkan bahawa pada zaman kemerdekaan kelak motokar akan
masuk ke dalam bendang. Pada masa itu orang tidak memahami makna
ramalannya itu. Sekarang barulah orang tahu, setelah melihat mesin
bermotor masuk membajak sawah. Beliau juga membuat lesung kincir
yang digerakkan oleh tenaga air. Hal ini banyak menolong petani
menumbuk padi.
Menurut Datuk Asri lagi, Pak Mokhtar Lintang, seorang tokoh yang
disegani yang pernah menjadi pensyarah di UKM ialah murid kepada
Syeikh Juned. Allahyarham Syeikh Juned ialah tokoh yang pandai bergaul
dengan segala peringkat dan golongan masyarakat. Bahkan dengan ahli
polis yang berseluar pendek juga beliau mempunyai hubungan yang
baik, meskipun seluar pendek itu termasuk pakaian yang tidak menutup
aurat. Hubungan beliau dengan pihak istana juga baik.
Menurut Datuk Asri, cara pengajaran di madrasah yang terletak di
bawah pengawasan Syeikh Juned adalah lebih moden daripada sistem
pondok, meskipun belum sampai ke tahap sekarang ini. Dalam pembaharuan
sistem pendidikan Islam ini beliau juga mengikuti ajaran dan teladan
Muhammad Abduh di Mesir.
Datuk Asri mengisahkan lagi bahawa masalah Palestin adalah menjadi
perhatian beliau yang serius. Beliau mengumpulkan derma di sini
dan mengirimkannya ke sana. Antara sifatnya yang menonjol ialah
qanaah, sederhana, dan memadakan yang ada. Dan amalan yang paling
baik bagi beliau ialah berwakaf. Di semua tempat beliau menggalakkan
kaum muslimin untuk berwakaf. Agaknya beliau tertarik dengan sistem
wakaf di Mesir, yang bahkan dapat menghidupkan sebuah universiti
yang besar, yakni Universiti Al-Azhar. Di kampung asalnya di Tapanuli
Selatan, beliau mendirikan sekolah dan pengajian agama daripada
harta waqaf. Dan beliau juga menggalakkannya di Padang Rengas. Memanglah
wakaf merupakan suatu institusi yang amat digalakkan dalam ajaran
Islam.
Menurut Datuk Asri ada juga diceritakan tentang "karamat"
beliau; namun usahlah perkara itu dibesar-besarkan. Demikianlah
misalnya, pada suatu ketika beliau jatuh pengsan beberapa hari lamanya,
namun beliau tidak sakit apa-apa. Beberapa ketika kemudian diterima
telegram dari Palestin, menanyakan apakah beliau sudah sampai kembali
dari Palestin.
Menurut Datin Sakinah, ketika beliau diusir oleh Ketua Kampung-nya
di Tapanuli Selatan atas arahan pihak berkuasa Belanda kerana dicurigai
menentang penjajahan Belanda, beliau mengatakan: "Ketua kampung
itu kelak akan mengalami nasib yang luar biasa". Tidak berapa
lama kemudian ketua kampung itu menyembelih dirinya sendiri. Wallahualam.
Akhirnya, kami paparkan di sini kenangan Mohd. Redzuan Othman di
dalam kertas kerjanya pada Seminar Ulama dan Sejarah Perak:
Syeikh Juned Tola meninggal dunia pada hari Selasa, 10 Mac 1948.
Ada sangkaan bahawa kematian beliau disebabkan termakan racun. Jika
benar demikian, meskipun beliau tidak mencari lawan, namun setiap
perubahan baru mesti ada penentangnya. Dan beliau sebagai seorang
pembaharu tentulah pula mendapat tentangan keras. Jenazahnya dikebumikan
di hadapan Madrasah Al-Junidiah di kampung kelahirannya di Tapanuli
Selatan. Walaupun beliau telah pergi, namun harta wakaf yang beliau
tinggalkan terus berkekalan dan terus memberikan sumbangan kepada
umat Islam. Dalam sejarah hidupnya Syeikh Juned melambangkan seorang
ulama yang peka terhadap persekitarannya. Realiti masyarakat pada
waktu itu memerlukan pembasmian kejahilan, pembinaan ekonomi ummah
dan pembebasan daripada cengkaman penjajahan. Beliau cuba menggerakkan
bangsanya supaya mampu berdikari dan dihormati seperti yang dituntut
oleh Islam. Syeikh Juned ialah seorang ulama tetapi kesedaran ekonomi,
politik, dan pendidikan yang beliau tanamkan kepada pelajar dan
masyarakatnya akan terus meletakkannya sebagai seorang ulama, yang
mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Sekian Mohd. Redzuan Othman.
Bagi kami, Syeikh Juned telah menunjukkan sisi yang lain daripada
Pembaharuan Islam yang melingkupi semua aspek kehidupan manusia
itu. Tekanan beliau tidak ke atas perbezaan dalam soal furu'. Beliau
tidak menonjolkan perbezaan anggapan tentang Sifat Dua Puluh, usalli,
qunut, dan sebagainya. Beliau lebih menujukan perhatiannya kepada
pembaharuan mental, ekonomi, pendidikan, dan politik. Beliau ingin
memanfaatkan institusi Islam yang selama ini diabaikan orang seperti
wakaf dan khidmat masyarakat. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyukai
perkara bidaah dan khurafat. Beliau ingin mengembalikan umat Islam
kepada Islam yang sebenarnya, yang berpegang kepada al-Quran dan
al-Hadis.
Mungkin beliau tidak meninggalkan sesuatu yang nyata. Beliau tidak
menegakkan monumen untuk dirinya. Sekolah yang telah didirikannya
itu pun dewasa ini serupa sekolah biasa, tidak ada keistimewaannya
pada masa kini. Namun, beliau telah menjadikan perjuangannya sebarisan
batu-bata di dalam mendirikan suatu bangunan umat Islam yang kuat
dan menjadi pendukung Malaysia merdeka. Beliau telah menanamkan
rasa harga diri kepada umat Islam. Beliau telah membangunkan semangat
berdikari dalam hati umat Islam. Beliau telah menunjukkan bahawa
kaum muslimin juga mempunyai kemampuan yang sama dengan bangsa-bangsa
lain untuk menyusun kehidupan yang lebih baik di dunia ini. Beliau
telah menanamkan semangat merdeka, dan bahawa kemerdekaan dalam
politik dan ekonomi adalah matlamat Islam untuk umatnya.
Itulah dia jasa dan peranan Syeikh Juned Tola di dalam pembaharuan
dan kebangunan umat Islam Malaysia. Beliau memang tidak mempunyai
monumen untuk dirinya. Namun banyak yang ditinggalkannya kepada
bangsanya yang terdiri daripada nilai yang berharga untuk menyongsong
kebangunan baru umat Islam.
Sumber: http://www.lib.usm.my/Moro/GPI/bab10.html
|