|
Biografi
Tokoh-Tokoh
Syeikh
Junid Thala ulama terkenal di Mandailing dan Perak
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DARI minggu ke minggu, nampaknya para peminat rencana biodata ulama
yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia terus bertambah. Sebagai
bukti, rencana yang akan dibicarakan ini adalah ihsan Tuan Haji
Muhammad Rivai Batubara (Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Perak merangkap Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan) yang
dikirimkan kepada saya.
Saya menyimpulkan bahawa terdapat jalinan keserasian kerjasama
antara penulis, Utusan Malaysia dan para pembaca yang berminat.
Oleh itu melalui rencana ini saya ucapkan terima kasih kepada beliau
dan Utusan Malaysia.
Setelah saya membaca artikel tentang Syeikh Junid Thala yang dilengkapi
dengan bahan-bahan yang dilampirkan maka saya susunkannya kembali.
Beberapa perkara yang belum disentuh oleh beberapa penulis tentang
Syeikh Junid Thala akan saya utamakan sebagai bahan tambahan. Saya
cuba menjelaskan maklumat yang belum jelas. Sebelum melanjutkan
bicara, beberapa kertas kerja yang pernah dibentangkan saya senaraikan.
Kepada mereka yang melakukan penyelidikan dan penulisan kita patut
mengucapkan terima kasih. Judul dan nama penulis adalah sebagai
berikut: Ringkasan Kehidupan dan Perjuangan Haji Junid Tola Rangkuti
oleh Tan Sri Haji Mohd. Asri; Syeikh Junid Thala (1897-1948) Peranannya
Dalam Menggerakkan Kesedaran Masyarakat oleh Prof. Madya Dr. Mohd.
Redzuan Othman; Syeikh Junid: Tokoh Ulama Indonesia - Malaysia oleh
Abu Bakar Al-Siddiq; Syeikh Junid Thala: Format Bangunan Gagasan
Dakwah Islamiyah oleh Yasir Nasution dan Syeikh Junid Thala: Meninggal
Dunia 30 Mac 1948 oleh Haji Muhammad Rivai Batubara.
Pertikaian tempat dan tahun kelahiran Syeikh Junid Thala sebagai
berikut, yang menyebut tahun 1878 M, lahir di Tanjung Larangan,
Desa Sigantang Kecil, Silaping (disebut oleh Pengumpul/Penyusun
Riwayat Hidup, Hutanamale, 18 Februari 1992, hlm. 40).
Buku Sejarah Ulama-Ulama Terkemuka Di Sumatera Utara menyebut bahawa
beliau lahir pada tahun 1886 M di Hutadolok, Kenegerian Maga, Kecamatan
Kotanopan (hlm. 155). Tahun lahir yang lain pula ialah 1897 M. Berdasarkan
surat Haji Muhammad Rivai Batubara kepada saya pada 10 Ogos 2006,
dinyatakan bahawa tahun lahir 1897 M itulah yang dipersetujui dalam
seminar yang diadakan di Penyabungan pada tahun 2000 anjuran Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) bekerjasama dengan IAIN Sumatera Utara,
Pemerintah Kabupaten Mandailing Natal dan Pengurus Perwakafan Syeikh
Al-Juned.
Mengenai pendidikan Syeikh Haji Junid Thala sewaktu beliau masih
berada di Sumatera ia tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah cukup
jelas. Ada pun mengenai pendidikannya semasa berada di Kedah dan
selanjutnya masih banyak ruang kosong yang tidak disentuh oleh para
penulis terdahulu. Oleh itu saya lanjutkan sebagai berikut. Dikatakan
beliau belajar di Pondok Tuan Guru Haji Cik Doi, Guar Cempedak,
Kedah (Tan Sri Haji Mohd. Asri, hlm. 1). Prof. Madya Dr. Mohd. Redzuan
Othman pula menulis, "Di Kedah beliau belajar di Pondok Syeikh
Ibrahim Gajah Mati dan Pondok Haji Che Doi di Guar Chempedak"
(hlm. 12). Yang dimaksudkan dengan Che Doi atau Cik Doi, nama yang
sebenarnya ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani. Cik Doi sempat
belajar dengan Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya
Pertama). Tetapi setelah Tok Bendang Daya meninggal dunia, Cik Doi
belajar daripada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani
dan Syeikh 'Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya
Kedua).
Cik Doi datang ke Kedah membina Pondok Gajah Mati yang kemudian
diserahkan kepada menantunya, Syeikh Haji Wan Ibrahim atau Pak Cu
Him bin Tok Bendang Daya Kedua. Ada pun Pondok Guar Chempedak dipimpin
oleh anak beliau iaitu Haji Husein bin Cik Doi (saudara ipar Pak
Cu Him). Syeikh Haji Junid Thala masuk ke Pondok Gajah Mati ketika
pondok itu masih dipimpin oleh Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani
atau Cik Doi hinggalah pondok itu dipimpin oleh Pak Cu Him. Pak
Cu Him (lahir 1311 H/1894 M) lebih tua sekitar tiga tahun daripada
Syeikh Haji Junid Thala (lahir 1314 /1897 M).
Selisih umur tiga tahun ataupun kadang-kadang seorang murid lebih
tua daripada guru adalah lumrah (biasa) dalam dunia pendidikan zaman
dulu, bahkan hingga sekarang.
Setelah belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah, Syeikh Haji Junid
Thala pindah pula ke Madrasah al-Masriyah asy-Syubbaniyah di Bukit
Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sini, Syeikh Haji Junid
Thala belajar daripada pengasas madrasah itu, iaitu Syeikh Mohd.
Salleh al-Masri bin Baqi bin Lundang. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri
sebelum belajar ke tempat lain pernah belajar dengan Syeikh Abdul
Wahhab Rokan di Besilam, Langkat.
Syeikh Abdul Wahhab Rokan pula adalah salah seorang guru Syeikh
Haji Junid Thala sebelum beliau belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah.
Syeikh Mohd. Salleh al-Masri setelah belajar di Besilam belajar
pula daripada Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (penyusun
kitab Akidah an-Najin) yang dikenali dengan gelaran Tuan Minal.
Salah seorang guru Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani
ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang
Daya Pertama).
Berdasarkan riwayat ini jika kita tinjau daripada sistem pendidikan
Islam yang mementingkan sanad bererti Syeikh Haji Junid Thala mendapat
dua pendidikan melalui Che Doi Pondok Gajah Mati dan Syeikh Mohd.
Salleh al-Masri. Pendidikan itu bertemu pada satu tokoh besar ulama
dunia Melayu ialah Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya), Hulubalang
Patani, pengasas Pondok Bendang Daya Patani yang sangat terkenal
pada zaman dulu.
Diriwayatkan
Setelah memperoleh pendidikan dari Universiti Al-Azhar di Mesir
diriwayatkan pula bahawa Syeikh Haji Junid Thala pergi ke Mekah
dan belajar daripada Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili. Semua penulis
yang terdahulu tidak menjelaskan siapakah Syeikh 'Abdul Qadir al-Mandaili
yang dimaksudkan. Pada pandangan saya, beliau adalah Syeikh Abdul
Qadir bin Shabir al-Mandaili. Seorang lagi ialah Syeikh Abdul Qadir
bin Abdul Muthallib al-Mandaili.
Ketika Syeikh Haji Junid Thala dari Mesir ke Mekah, Syeikh Abdul
Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili masih belum terkenal. Syeikh
Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili lahir pada tahun 1326
H/1908 M. Beliau jauh lebih muda daripada Syeikh Haji Junid Thala
yang lahir pada 1314 /1897 M. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib
al-Mandaili ialah murid Pak Cu Him di Pondok Gajah Mati, Kedah yang
tidak sempat belajar dengan Cik Doi, pengasas pondok itu.
Hal ini berbeza dengan Syeikh Haji Junid Thala ketika di Pondok
Gajah Mati yang belajar daripada Cik Doi. Pak Cu Him Gajah Mati
mengirim Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili untuk
memperdalamkan ilmu kepada Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani
atau Tok Cik Wan Daud (ayah saudara Pak Cu Him) dan Syeikh Wan Ismail
bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De 'El (abang Pak Cu Him). Syeikh
Haji Junid Thala ketika berada di Mekah juga sempat belajar dengan
Tok Cik Wan Daud al-Fathani (lahir 1283 H/1866 M, wafat 23 Zulhijjah
1354 H/17 Mac 1936 M, dan Pak De 'El al-Fathani (lahir 1300 H/1882
M, wafat 12 Rejab 1385 H/5 November 1965 M). Demikianlah riwayat
yang saya dengar di Pondok Gajah Mati.
Ketika Syeikh Haji Junid Thala pulang dari Mesir beliau dilantik
sebagai anggota Majlis Ulama Negeri Perak oleh Sultan Iskandar Syah,
Sultan Perak Darul Ridzuan ketika itu (lihat Tan Sri Haji Mohd.
Asri, hlm. 3). Apabila kita membicarakan aktiviti Syeikh Haji Junid
Thala, ia sekurang-kurangnya terbahagi kepada beberapa bahagian.
Aktiviti perjuangan ketika selaku pendidik sebelum berangkat ke
Mesir. Ketika belajar di Mesir, beliau sempat menjadi imam dan kemudian
mengajar di Masjid al-Haram di Mekah.
Setelah kembali ke daerah Mandailing, beliau aktif dalam perjuangan.
Peranan yang dijalankan oleh Syeikh Haji Junid Thala di Tanah Mandailing
(Indonesia), negeri kelahirannya adalah seimbang dengan perjuangan
semasa di perantauan di Perak (Malaysia). Selain mengutamakan perjuangan
pendidikan Islam, secara rahsia Syeikh Haji Junid Thala juga terlibat
dalam barisan perjuangan kemerdekaan Indonesia. Syeikh Haji Junid
Thala adalah seorang tokoh ulama yang anti kolonial Belanda yang
menjajah Indonesia ketika itu.
Pemerintah kolonial Belanda pernah mengeluarkan perintah tangkap
terhadap Syeikh Haji Junid Thala, namun beliau berjaya berhijrah
ke Malaya. Syeikh Haji Junid Thala memusatkan keseluruhan aktivitinya
di Kampung Lalang, Padang Rengas. Kemudian Jepun kalah dalam Perang
Dunia Kedua menyebabkan Indonesia merdeka. Ketika itulah Syeikh
Haji Junid Thala ikut berjuang bersama pejuang-pejuang di Semenanjung
Tanah Melayu.
Walaupun para pejuang itu mempunyai pelbagai ideologi politik tetapi
mereka bertemu pada satu tekad iaitu Malaya mesti merdeka daripada
penjajahan Inggeris ataupun apa jua corak penjajahan yang merupakan
penindasan manusia ke atas manusia. Madrasah Diniyah di Kampung
Lalang, Padang Rengas yang beliau asaskan pada zaman itu dijadikan
tempat berhimpun para tokoh pejuang kemerdekaan. Dalam satu demonstrasi
besar-besaran di Kuala Kangsar anjuran API (Angkatan Pemuda Insaf)
dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) ternyata Syeikh Haji Junid Thala
melibatkan diri dan ada peranan yang tersendiri dalam perjuangan
Kemerdekaan.
Kepeloporan Syeikh Haji Junid Thala dalam dunia pendidikan bercorak
madrasah di Mandailing (Indonesia) dan Perak dengan sistem pendidikan,
pengumpulan dana wakaf yang pelbagai dan lain-lain terlalu panjang
untuk dibicarakan. Oleh itu saya tinggalkannya saja kerana telah
cukup dengan merujuk kepada tulisan beberapa penulis yang terdahulu.
Penulisan
Sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji Muhammad
Rivai Batubara yang mengirim kepada saya salinan karangan Syeikh
Haji Junid Thala berjudul Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim.
Ia ditulis dengan tulisan Melayu/Jawi.
Bahagian kulit depan dinyatakan kitab itu dikarang oleh asy-Syeikh
Junid Thala Al-Azhari di dalam negeri Perak pada tahun 1348 H (kira-kira
bersamaan dengan 1929 M). Ia dicetak oleh Al-Mathba'ah Al-Marbawiyah
dekat Universiti Al-Azhar, Mesir. Kitab itu diberi kata pengantar
oleh sahabatnya Syeikh Idris al-Marbawi.
Bertambah nyatalah sejarah ketokohan Syeikh Haji Junid Thala sebagai
seorang ulama, kerana dinyatakan oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai
berikut, "Pengarang kitab ini bernama Tuan asy-Syeikh Junid
Thala al-Mandaili, seorang daripada orang alim kita (Melayu) yang
telah dapat tanda atau surat pengakuan daripada Syeikh al-Islam
Mesir, yang ia telah lulus pelajaran beberapa ilmu di dalam sekolah
tinggi Azhar. Menghabis ia akan hemahnya di dalam pelajarannya di
Azhar lebih daripada tiga tahun. Telah saya nampak dengan mata kepala
dan mata hati, payahlah seorang penuntut agama semasanya berhemah
sepertinya istimewa orang yang berada di Mesir sekarang pun. Cukup
warak dan setia Tuan Syeikh itu masa di Mesir, dan berhati wathani
(maksudnya: berjiwa kasih pada tanah air, pen:)."
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
|