Kegiatan
KeMandailingan
Wednesday, November 17, 2004
http://www.malaysia-today.net/blog/2004_11_17_MT_BM_archive.htm
Pembinaan
Jalanraya hapuskan Warisan Sejarah Perak
Oleh Faisal Mustaffa
BATU GAJAH 15 Nov - Waris-waris keturunan Mandailing
di sini hari ini telah mengemukakan rayuan kepada pihak kerajaan
khususnya Jabatan Kerja Raya supaya menimbang kembali cadangan
untuk membina jalanraya Gopeng - Seputeh Fasa II sehingga terpaksa
mengambilalih tanah perkuburan nenek moyang mereka yang berusia
lebih 100 tahun.
Jurucakap
bagi pempetisyen itu, Hj Mohd Zain bin Zon berkata bahawa pembinaan
jalanraya tersebut akan melibatkan beberapa bidang tanah yang
sudah pun diberikan pampasan termasuk sebidang tanah perkuburan
yang menempatkan Dato Stia Raja yang dipercayai membuka Batu Gajah.
Menurut Mohd Zain, tanah perkuburan yang terletak
di Lot 2038 dan Lot 34044 Jalan Tanjung Tualang itu bukan hanya
penting bagi keturunannya (Mandailing) tetapi juga makam itu merupakan
sebahagian daripada sejarah Malaysia.
Tanah perkuburan itu menempatkan lebih daripada
150 kubur.
Keluarga Mandailing inilah yang telah membina kedai-kedai
(tuanpunya asal) pekan lama Batu Gajah.
"Dengan hapusnya tanah perkuburan ini, maka hapuslah sejarah
Melayu, khasnya orang Mandailing Batu Gajah," ujar Mohd Zain
lagi.
Waris-waris arwah yang dikebumikan di sini hari
ini telah berkumpul di tanah perkuburan tersebut bagi menunjukkan
protes mereka, termasuk Tan Sri Annuar (bekas pengerusi Suhakam)
yang merupakan cucu menantu kepada Tok Stia.
Merujuk kepada sejarah, Dato Stia Raja atau lebih
dikenali sebagai Tok Setia Raja, anak Bendahara Raja Ketua Mandailing
di Selangor pernah terlibat bersama Raja Asal dalam Peperangan
Klang (1867 - 73) kemudian berpindah bersama Raja Asal ke Perak,
pada mulanya di Selama, kemudiannya menetap di Batu Gajah.
Tok Stia Raja juga telah memperkenalkan industri
perlombongan bijih dan perladangan getah ekonomi Perak, khususnya
Batu Gajah.
"Dari
usaha Tok Stia dalam bidang bijih timah dan getah telah membawa
kepadatan penduduk Melayu, Cina dan India ke Batu Gajah secara
langsung merupakan orang yang membuka Batu Gajah," terang
Mohd Zain, 65 tahun.
Menurut Mohd Zain yang juga merupakan generasi keempat
Tok Stia, sekiranya Raja Asal dipelihara tanah perkuburannya,
mengapa tidak Tok Stia.
Menurut buku Raja Bilah and The Mandailing tulisan
Abdul Razzaq dan Khoo Salma Nasution (2003), kedua-dua Raja Asal
dan Tok Stia sama handal (panglima perang), malah Tok Stia lebih
berjasa kepada Batu Gajah.
Menurut buku itu lagi, hubungannya amat rapat dengan
Raja Asal dan Raja Bilah (anak lelaki Raja Bilah berkahwin dengan
anak perempuan Tok Stia Raja).
Dalam temuramahnya dengan Malaysia Today, wakil-wakil
waris itu telah merayu kepada pihak berkenaan untuk mengkaji semula
projek pembinaan jalanraya supaya mereka dapat menziarahi tanah
perkuburan yang sentiasa dijaga kebersihannya.
Surat-surat telah pun dihantar kepada pihak-pihak
yang bertanggungjawab termasuk Jabatan Kerja Raya tetapi tiada
apa-apa balasan.