Perantauan Orang Mandailing ke Malaysia
Rencana
- Abdur-Razzaq Lubis,
Selamatkan Masjid Papan (Surat Berita Mandailing Jilid 1, No.
1)
- Abdur-Razzaq Lubis,
Sutan Puasa dan Kuala Lumpur (Surat Berita Mandailing Jilid 1,
No. 1)
- Abdur-Razzaq Lubis,
Adam Malik, anak Chemor (Surat Berita Mandailing Jilid 1, No.
2)
- Abdur-Razzaq Lubis,
Kampung Batu Sembilan, Chemor, (Surat Berita Mandailing Jilid
1, No. 2)
Selamatkan Masjid Papan
Masjid
Papan yang dibina pada tahun 1888 oleh penghulu Papan, Raja Bilah
(1834-1911) adalah masjid tertua dalam bentuk asalnya di negeri
Perak. Malah Masjid Papan adalah masjid Mandailing yang tertua di
negeri itu, dan barangkali di Malaysia.
Masjid Papan yang juga dikenali sebagai Masjid
Raja Bilah sempena nama pengasasnya mencerminkan seni bina Mandailing.
Seperti masjid-masjid tempatan yang ditegakkan pada awal kurun ke-19,
Masjid Papan tidak mempunyai menara dan kubuh bawang seperti masjid-masjid
yang dipengaruhi oleh seni bina Turki dan India Moghul. Bentuk dan
seni bina Masjid Papan serupa dengan masjid-masjid kayu yang masih
boleh ditemui di Tapanuli Selatan, dan kerana itu, besar kemungkinan
Masjid Papan dibina oleh tukang-tukang Mandailing.
Sepanjang Masjid Papan digunakan sebagai sebuah
masjid, ianya diimarahkan oleh jamaah Islam Mandailing, Talu, Rawa,
Jawa, Melayu dan ìBenggali Islamî sehingga Perang Dunia
Kedua.
Kemudian masjid itu digunakan sebagai sebuah surau
oleh kaum keluarga Raja Bilah, dan pelawat-pelawat beragama Islam
yang mengunjungi pekan Papan yang bersejarah itu.
Masjid Papan (atas) dan sebuah masjid Mandailing
di Tapanuli Selatan (bawah). Kedua-dua masjid itu diperbuat dari
kayu. Bentuk anjung mihrab, bumbung dua lapis dan tunjuk langitnya
serupa sahaja.
Anak lelaki tertua Raja Bilah, Raja Yacob telah
mendapatkan Jabatan Ukur Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menyukat
tapak tanah masjid itu dan mewartakan kawasan masjid.
Tapak masjid itu seluas 0.087 ekar diisytiharkan
sebagai "Mosque Reserve" pada 6 April 1923, sementara
kawasan masjid itu diwartakan sebagai "tanah larangan tapak
masjid tempat sembahyang bagi orang2 Islam dijagai oleh Penghulu
mukim Papan dan Imam Masjid Papan" pada 3 November 1923.
Makanya masjid itu telah diwakafkan dengan rasminya
sebagai wakaf umum dengan kehendak agama Islam. Maka masjid itu
menjadi milik Allah, dan kerana itu adalah menjadi tanggungjawab
umat Islam untuk menjaga maruah masjid itu.
Keadaan terancam masjid itu telah sampai kepada
pengetahuan umum sejak 1992, apabila sebahagian bumbung zink masjid
itu diterbangkan angin kencang dan mendedahkan lantas masjid itu
kepada hujan. Lantainya sudahpun reput dibaham hujan dan dimakan
anai-anai. Sehingga kini, tida ada tindakan amaliah diambil oleh
orang Islam atau pihak berkuasa untuk menyelamatkan masjid itu.
Padahal penghulu kita selawat dan salam ke atasnya
telah bersabda: "Apabila kamu melihat seseorang itu menjaga
masjid, saksikanlah keimanannya, kerana Allah Yang Maha Tinggi berfirman
bahawa hanya seseorang yang memakmurkan masjid beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat." (Tirmidhi)
Sehubungan itu, Maulana Mufti Ahmed Ebrahim Bemat,
Shaikh al-Hadith dalam kitabnya, Ahkam Al-Masjid (Hukum-Hakam Mengenai
Masjid), berkata: "Adalah menjadi hak pengasas masjid and warisnya
untuk memperbaiki masjid; sesudah itu adalah (menjadi hak) khariah
setempat, tetapi jika ada bahaya masjid itu akan roboh, orang lain
boleh membuat (kerja-kerja) pembaikan yang dikehendaki."
Sekiranya kerja-kerja pemantapan tidak dijalankan
dengan segera, masjid itu tidak akan dapat bertahan lebih lama lagi
dan mungkin runtuh.
Sebagai anggota umat Islam dan pewaris pesaka Mandailing,
orang Mandailing hendaklah mendahului orang Islam lain membaik-pulihkan
Masjid Papan yang menunggu untuk diselamatkan.
Meskipun Masjid Papan tidak digunakan lagi untuk
sembahyang berjamaah, tapak masjid itu kekal sebagai masjid hingga
hari akhirat dan masjid itu patut dipelihara untuk menampung kemungkinan
adanya khariah pada masa yang akan datang.
Dengan terpeliharanya Masjid Papan, ia boleh dijadikan
'perantara' bagi mendidik kita mengenai Islam, penghijrahan, seni
bina, pertukangan tangan, sejarah dan warisan Mandailing.
Inilah peluang dan kesempatan kepada pembaca-pembaca
MANDAILING untuk berbuat amal ibadat dan melabur untuk masa hadapan
yang berlaba dengan membantu menyelamatkan Masjid Papan.
Sesungguhnya "Orang yang membina masjid semata-mata
untuk Allah, Allah akan membina sebuah rumah baginya di jannah."
(Muslim, Bukhari) Sesiapa yang hendak menolong sila berhubung dengan:
Haji Mohd Yusof bin Kamarudin
37 Jalan Pantai Jerejak 1, Sungai Nibong
11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Tel rumah: 04-6579415 pejabat 04-6576971

Bacaan
1. A Proposal To Restore The Papan Mosque, Oldest Mandailing Mosque
in Perak, built 1888, Khoo Salma Nasution & Abdur-Razzaq Lubis,
Marchi 1996.
2. Traditional Buildings of Indonesia, Volume III Batak Simalungun
and Batak Mandailing, Bandung, 1973. 3. Abdul Halim Nasir, Mosques
of Peninsular Malaysia, Berita Publishing, 1994.
4. N.A. Halim, Tempat-Tempat Bersejarah Perak, Jabatan Muzium, 1981.
5. Mohd. Zain Haji Othman, Islamic Law with special reference to
the institution of wakaf, Jabatan Perdana Menteri, 1982.
6. Maulana Mufti Ahmed Ebrahim, Ahkam Al-Masjid, Surat, 1975.
7. The Star, Thursday, November 19, 1992.
Caption: Warta kerajaan mewakafkan masjid pada
1923.
|