""

www.mandailing.org

malaysian / indonesian | english

Adam Malik, anak Chemor

 

isi

rencana

links

kontak

gambar

gambar lama

 



Perantauan Orang Mandailing ke Malaysia

Rencana

Adam Malik, anak Chemor
oleh Abdur-Razzaq Lubis


Gambar Adam Malik yang masih remaja dan ibunya Siti Salamah diambil dari buku Bachtiar Djamily.

Meskipun dua catatan riwayat hidup Adam Malik (1) menyebut bahawa Adam Malik dilahirkan di Pematang Siantar, Sumatra Utara pada tahun 1917, namun begitu orang tua-tua di Kampung Batu Sembilan, Chemor, Perak menganggap Chemor sebagai tempat kelahirannya.
Orang tua-tua di kampung itu memberitahu MANDAILING bahawa Adam Malik dilahirkan dan dibesarkan di Chemor sebelum ibunya Siti Salamah membawanya pulang ke Sumatra.

Sebaik-baik pengesahan mengenai cerita ini datang daripada sepupu Adam Malik sendiri, Haji Hasan bin Mohd Tasah (Batubara), 65, Imam Masjid Chemor: ìAdam Malik diberanakkan di Chemor. Besar-besarnya Adam Malik pun di Chemorî.

Katanya, bapa Adam Malik, iaitu Abdul Malik, telah datang ke Chemor semasa teruna lagi. Abdul Malik yang bermarga Batubara, berasal dari Huta Pungkut Julu di Kotanopan, Tapanuli Selatan. Huta Pungkut, sebelum itu dipanggil Huta Gordang, dibuka oleh moyangnya Si Juangga gelar Ja Godang. Sesetengah keturunan orang Mandailing di Chemor juga berasal dari Huta Pungkut.

Sesudah bapa Abdul Malik, iaitu Ampulagang bin Ja Balom meninggal dunia, dia dibawa ke Kampung Tembok Baru di Chemor oleh bapa saudaranya, Haji Mohd Arshad bin Ja Balom. Jelas Imam Hasan, ìMaka ayah Adam Malik menjadi anak angkat nenek saya, Haji Mohd. Arshad. Adam Malik memanggilnya ëPak Uchuí atau ëUdaí mengikut panggilan Mandailing. Adam Malik dan ayah saya jadi adik-beradikî.

Bachtiar Djamily dalam biografinya mengenai Adam Malik, menulis, ìTahun 1911, Abdul Malik memetik sekuntum bunga yang harum semerbak wangi dari Chemor, Perak, Semenanjung Tanah Melayu. Itulah gadis remaja bernama Siti Salamahî. Daripada perkahwinan ini, pasangan itu dikurniakan sepuluh cahaya mata. Adam Malik adalah anak yang ketiga.

Abdul Malik, seorang pedagang kelontong dan kain, kerap berulang-alik di antara Chemor dan Sumatra. ìSupaya Abdul Malik ini tetap tinggal di Chemor, nenek saya kahwinkan dia dengan Siti Salamah binti Deto, yang pada masa itu tinggal di Kampung Dusun Gelap. Di Kampung Dusun Gelap inilah Adam Malik dilahirkan,î kata Imam Hasan. (2)

Kampung Dusun Gelap di Chemor itu seluas kira-kira 40 ekar, ditanam dengan getah dan buah-buahan, dan dianggarkannya mempunyai 30 buah rumah. Kampung itu sudah tidak ada lagi kerana penduduknya berpindah ke Kampung Batu Sembilan dan Kampung Tembok Baru supaya mereka tinggal lebih dekat dengan jalan besar ke Ipoh.

Siti Salamah dan anak-anaknya pula berpindah ke rumah saudara sekandungnya, Hajjah Halimah binti Deto, yang lebih dikenali sebagai Hajjah Saíebah, dan suaminya Haji Ahmad Nawas Haji Mohd Sidek, ëorang kayaí di Kampung Batu Sembilan. Rumah mereka itu terletak berdekatan dengan jalan besar Ipoh-Chemor. Jadi, Adam Malik dan adik-beradiknya membesar di Kampung Batu Sembilan.

ìAdam Malik tidak sempat masuk sekolah di Chemor. Umurnya tujuh lapan tahun, dia dibawa balik ke Sumatra oleh orang tuanya,î kata Imam Hasan.

Pada pertengahan tahun 1963, Indonesia atas hasutan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang sangat-sangat memusuhi Adam Malik, melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia, dan secara tidak langsung terhadap Adam Malik sendiri.

ìAgaknya orang-orang PKI mengetahui benar sikap politik Adam Malik. Merekapun pasti tahu betul hubungan pribadi dan kekeluargaan Adam Malik dengan saudara-saudaranya di Malaysia.

ìDi zaman berlangsungnya konfrontasi timbal-balik antara Indonesia dan Malaysia, yaitu sekitar tahun 1963-65, tidak diragukan lagi bahwa di antara sekian banyak pemimpin dan rakyat Indonesia yang resah dan gelisah, termasuklah Adam Malik.

ìSecara pribadi dan selaku manusia biasa, Adam Malik mempunyai banyak saudara, sahabat dan kenalan di Malaysia. Banyak latar-belakang kehidupan Adam Malik yang menjalinkannya dengan Malaysia,î Bachtiar Djamily mendedahkan.

Maka tidaklah menghairankan kalau Adam Malik memainkan peranan yang besar untuk memadamkan konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia, tempat tumpah darah ibu dan dirinya sendiri. ìHanya sa-telah Adam Malik ëberkonfrantasií dengan Sukarno baru-lah Sukarno mendiamkan diri dan tidak lagi menyebut2 soal konfrantasi yang di-benchi ituî, kata Abdul Rahman Rahim, seorang lagi penulis. (3)

Malah Adam Malik sendiri menyatakan bahawa ìtugas saya sebagai Menteri Luar Negeri adalah ... mengakhiri konfrontasi Indonesia dengan Malaysiaî. (4)

Atas sifatnya sebagai Menteri Luar Indonesia, Adam Malik menandatangani Persetujuan Jakarta dengan Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 11 Ogos 1966 di Jakarta sebagai menandakan tamatnya konfrantasi.

Keesokan harinya, Adam Malik mengginjak kakinya di bumi Malaysia. Ketibaan anak watan Malaysia itu di lapangan terbang Subang, disambut meriah.

Mulai hari itu, pada setiap kesempatan yang terbuka, Adam Malik mengunjungi kampung halamannya di Chemor, Perak. Di situ, Adam Malik bertanggak di rumah bapa saudaranya, Haji Mohd. Tasah bin Haji Mohd. Arshad. Pada masa itu, Haji Mohd. Tasah adalah Imam Masjid Chemor.

Seorang lagi saudara-mara Adam Malik di Chemor ialah Abdul Rahim, iaitu bapa Abdul Rahman Rahim yang disifatkan oleh Bachtiar Djamily sebagai ìwartawan dan ahli politik yang terkenal ituî. Nama asal Abdul Rahman Rahim ialah Kamaludin Nasution. Dia menukar namanya sesudah melarikan diri ke Malaya pada 1932 daripada buruan penjajah Belanda. kerana kegiatan politiknya. Dia menjadi wartawan Utusan Melayu dari 1961 ke 1971.

Walaupun kedatangan-kedatangan Adam Malik ke Kampung Batu Sembilan itu bersifat peribadi tetapi oleh kerana beliau seorang VIP, Adam Malik senantiasa diikuti oleh pegawai-pegawai Special Branch (cawangan khas polis Malaysia) yang berpakaian pereman.

Anak saudara Adam Malik, Zainal Adnan Idris (Lubis) adalah juga seorang pegawai Special Branch berpangkat Inspektor. Walaupun dia tidak ditugaskan mengiringi Adam Malik, dia telah mengambil cuti untuk menyambut kedatangan Adam Malik ke Kampung Batu Sembilan.

Kehadiran dan ëkeakrabaní Adnan dengan Menteri Luar Indonesia itu menarik perhatian pegawai-pegawai Special Branch yang mengekori Adam Malik.

Sekembalinya bertugas, Adnan disoal-siasat oleh pegawai tertinggi kepolisan mengenai hubungannya dengan Adam Malik. Adnan memberitahu bahawa Adam Malik adalah bapa saudaranya! Berikutan itu, Adnan telah ditukarkan dari Special Branch ke cawangan pencegah maksiat. (5) Penulis masih ingat kunjungan Adam Malik ke Kampung Batu Sembilan pada awal 1970an.

Penulis, pada masa itu berumur belasan tahun, turut meraikan kedatangan Adam Malik ke kampung itu dan bersalaman dengannya. Sebelum Adam Malik menikmati juadah yang dihidangkan, seorang ëperasaí menjamah makanan itu untuk memastikan makanan itu tidak beracun.

Pada salah satu kunjungan ke kampung itu, Haji Kamaruddin Haji Abdullah (Lubis), 81, bekas ahli jawatankuasa IMAN Negeri Perak, menemankan Adam Malik ke Papan, Perak, supaya Menteri Luar Indonesia itu dapat menyampaikan sendiri salam ibunya kepada Raja Norain Sutan Abidin Lubis, yang dipanggil Sangkot. Raja Norain adalah isteri Yahya Nasution, panggilan Harun, pejuang nasional Indonesia yang dibuang ke Digol Irian Barat oleh penjajah Belanda kerana kegiatan politiknya.

Haji Kamuruddin mengingati Adam Malik sebagai seorang yang ìpandai, bijak, tebal imannya, kuat beragama. Dia orang alim betul-betulî.

Mengenangkan bahawa Adam Malik adalah anak Chemor yang berjasa besar, MANDAILING mencadangkan supaya Kampung Batu Sembilan dinamakan Desa Adam Malik. Al-Fatihah.

Nota Kaki
1. Bachtiar Djamily, Hidup & Perjuangan Adam Malik, Wartawan, Politisi, Diplomat, Negarawan, Pustaka Melayu Baru, tidak bertarikh, dan Solichin Salam, Adam Malik Profil Seorang Pejuang, Penerbit Gunung Jati, Jakarta, 1978.
2. Mengikut Imam Hasan, Siti Salamah barangkali bermarga Lubis.
3. Abdul Rahman Rahim, Jatoh-Nya Sa-Orang Presiden, Penerbitan Utusan Melayu Berhad, chetakan kedua, 1967.
4. Adam Malik, Mengabdi Republik, Jilid 1 Adam Malik Dari Andalas, Gunung Agung, Jakarta, 1978.
5. Temubual dengan Ayub Dahlan (Lubis), bekas pegawai perisikan British dan sepupu kepada Adnan. Gambar Adam Malik yang masih remaja dan ibunya Siti Salamah diambil dari buku Bachtiar Djamily.


>>> kembali ke 'isi'

The contents of this site is the reponsability of the respective contributors

 

update september 2004