""

www.mandailing.org

malaysian / indonesian | english

Kampung Batu Sembilan, Chemor, Perak

 

isi

rencana

links

kontak

gambar

gambar lama

 



Perantauan Orang Mandailing ke Malaysia

Rencana

Kampung Batu Sembilan, Chemor, Perak
oleh Abdur-Razzaq Lubis

Seperti Huta Pungkut, kampung nenek-moyang Adam Malik, Kampung Batu Sembilan telah melahirkan tokoh-tokoh ternama yang boleh dibanggakan oleh semua keturunan Mandailing di Malaysia mahupun di Indonesia. Anak-anak kelahiran Huta Pungkut yang terbilang termasuklah Abdul Haris Nasution, Jenderal TNI yang terkenal itu, Digulis Buyung Siregar, Muhidin Nasution dan Abu Kasim Dalimunte. (1)Ustad Dahlan Harun (Lubis), 87, warga tertua Kampung Batu Sembilan memberitahu nama Chemor itu asalnya dari ëcemarí (chemor dalam loghat Perak) kerana gajah yang lalu-lalang di situ pada zaman silam menyebabkan tempat itu menjadi berlumpur dan tercemar.


(2)Chemor, yang dahulunya sebuah penempatan pelombongan Cina, pernah mempunyai tiga perkampungan Mandailing iaitu Kampung Dusun Gelap, Kampung Tembok Baru dan Kampung Batu Sembilan. Kampung Dusun Gelap sudah lama pupus. Kampung Tembok Baru pula telah ditukar namanya kepada Kampung Batu Sebelas Setengah, Jalan Jelapang.
Nama Kampung Batu Sembilan tetap harum semerbak di kalangan orang Mandailing di Malaysia, biarpun desa kecil itu, kini sepi ditinggalkan.

Menurut Ustad Dahlan, perkampungan Mandailing di Batu Sembilan itu dibuka oleh datoknya, Ja Bolga, yang juga dikenali sebagai Abdullah Ja Bolga. Ja Bolga meninggal dunia tanggal 18 November 1921 dan dikebumikan di Chemor.

(3) Rata-rata orang Mandailing di Kampung Batu Sembilan bermarga Nasution dan Lubis.

Dinamakan perkampungan itu, Kampung Batu Sembilan kerana ia terletak sembilan batu dari bandar Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Supaya kampung itu tidak disalahkan dengan kampung batu sembilan yang lain, kedudukan kampung itu dikenal-pasti sebagai Kampung Batu Sembilan, Jalan Kuala Kangsar menunjukkan arah utara kampung itu dari Ipoh.

Jelas Ustad Dahlan, orang-orang Mandailing di situ dahulunya bercucuk-tanam, menangkap ikan di sungai-sungainya, berternak dan berkebun buah-buahan dan getah. Sememangnya tanah Chemor terkenal subur seperti yang dilaporkan oleh seorang pekebun Inggeris yang menjelajah seluruh pantai barat Semenanjung pada suku akhir abad ke 19.

ìTravelling by easy stages to Ipoh, we passed on our way to Chumor some of the best soil I had come across in the peninsulaî.

(4) (Perjalanan mudah berperingkat-peringkat ke Ipoh, kami melalui Chumor, kesuburan buminya adalah antara yang terbaik yang pernah saya temui di semenanjung).

Chemor khasnya Kampung Batu Sembilan bukan sahaja subur buminya tetapi juga subur dengan tokoh-tokoh Mandailing yang telah membuat nama di negara ini seperti Aminuddin Baki (Lubis), Abdul Wahab Abdullah (Lubis), Malungun (Amir Hamzah Nasution), Raja Aziz Addruse (Nasution) dan ramai lagi.

Arwahnya Abdul Wahab adalah seorang penulis sebelum perang dunia kedua, yang pernah menjadi ketua pengarang akhbar Saudara di Pulau Pinang. Arwahnya Aminuddin Baki adalah tokoh pendidik kebangsaan yang terkenal. Malungun, seorang novelis semasa didikan Abdul Rahman Rahim. Raja Aziz Addruse pula adalah pengerusi Persatuan Kerbangsaan Hak Asasi Manusia.

Seperti kebanyakan kampung halaman Mandailing di Semenanjung, Kampung Batu Sembilan hidup segan mati tak mahu, sepi kehilangan anak-anaknya yang gemilang kepada kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.

Nota Kaki
1. Basyral Hamidy Harahap & Hotman M. Siahaan, Orientasi Nilai-Nilai Batak Suatu Pendekatan Terhadap Perilaku Batak Toba dan Angkola-Mandailing, Sanggar Willem Iskandar, Jakarta, 1987.
2. Seorang pengkaji sejarah berpendapat nama Chemor berasal dari ëjumorí (jemor/jemur). S. Durai Raja Singam, Malayan Place Names, Port Weld To Kuantan, Singapore, 1939. Cetak ulang, 1957.
3. Dalam Cultural Change and Identity: Mandailing Immigrants in West Malaysia, University of Queensland Press, 1977, Donald Tugby menganggarkan tarikh pembukaan Kampung Batu Sembilan Chemor pada 1905.
4. Ambrose B. Rathborne, Camping And Tramping In Malaya, Fifteen Yearsí Pioneering In The Native States Of The Malay Peninsula, Swan Sonnenschein & Co., Lim., 1898; Cetak ulang, Oxford University Press, Singapore, 1984.

>>> kembali ke 'isi'

The contents of this site is the reponsability of the respective contributors

 

update september 2004