|
Marga Itu Apa?
oleh Abdoellah Loebis
Perkataan ìmargaî atau
clan itu asalnya dari bahasa Sanskrit, varga iaitu warna. Marga
itu bermakna ìkelompok atau puak orang yang berasal dari
satu keturunan.î (1)
Sehingga kini cuma beberapa kerat sahaja orang Mandailing Malaysia
yang memakai nama marga mereka seperti amalan orang Arab memakai
nama suku dan orang Tionghua memakai nama seh mereka.
Antara mereka yang memakai nama marga ialah Prof.
Madya Haji Muhammad Bukhari Lubis, seorang pensyarah dan penulis
yang banyak menghasilkan tulisan-tulisan mengenai tasawwuf. Barangkali
kepada pendengar radio dan penonton tv, nama Mandailing yang paling
terkenal ialah penyanyi dan juruhebah, Rubiah Lubis.
Di kalangan arwah-arwah orang Mandailing Semenanjung
yang memakai marga mereka ialah penulis Abdullah Musa Lubis dan
tokoh agama, Abdullah Abbas Nasution. Karangan Abdullah Musa Lubis
termasuklah Sejarah Perak Dahulu dan Sekarang, Kesah Raja Marong
Maha Wangsa, Hikayat Musang Berjanggut dan Hikayat Raja Pasai. Karya-karyanya
diterbitkan sama ada oleh Pustaka Antara atau Sinaran Brothers.
(2)
Sementara buku-buku Abdullah Abbas Nasution pula,
antara lain ialah Quran Daawah Islamiah, Hukum Haram Riba Tidak
Ada Syak Wa Sangka dan Al-Tarikh Majmu Sejarah Islam dalam 32 jilid.
Ada karangannya yang diterbitkannya sendiri atas nama Pustaka Nasution.(3)
Ramai lagi tokoh Mandailing yang langsung tidak
memakai marga mereka seperti ìnasionalis Melayuî dan
pendidik yang terkemuka, Aminuddin Baki (1926-65), anak Chemor yang
bermarga Lubis. (4)
Ada juga orang Mandailing yang mulanya memakai
marga mereka tetapi kemudian melucutkan pula seperti Kamaludin Nasution.
Sesudah melarikan diri ke Semenanjung pada 1932 dari perisikan penjajah
Belanda, Kamaludin mengambil nama Abdurrahman Rahim. Dia menjadi
penulis ruangan pojok Utusan Melayu pada 1961-1971. (5)
Sekilas pandang lebih ramai orang Mandailing bermarga
Lubis memakai marga mereka berbanding dengan orang Mandailing yang
bermarga lain di Malaysia. Ini berbeda dengan di Indonesia, di mana
kebanyakan orang Mandailing memakai marga mereka dan pemuka-pemuka
Mandailing seperti Mochtar Lubis dan Jeneral Harith Nasution telah
memasyurkan nama marga masing-masing di pentas dunia.
Kurangnya orang Mandailing di Malaysia memakai
marga mereka ialah kerana ramai yang tidak tahu apa itu marga. ìKadangkala
marga hanya membawa maksud saudara dalam pengertian yang umum. Perkataan-perkataan
lain yang digunakan untuk menggantikan marga ialah bangsa dan puak,î
kata seorang pengkaji masyarakat Mandailing Malaysia. Malah istilah
ìsukuî Minangkabau digunakan untuk marga. (6)
ìJusteru itu, ada orang Mandailing di Malaysia
yang mengatakan bahawa marga, suku, salasilah tidak berguna di Malaysia
tetapi boleh digunakan di Sumatra. Ini adalah sikap double standard
orang yang dwi-budaya (mengaku Melayu dan juga Mandailing).î
Sekiranya orang Mandailing Malaysia tidak memakai
nama marga masing-masing, keturunan yang akan datang akan lupa asal-usul
mereka. Maka, kita carilah marga masing-masing, susunlah salasilah
dan kenal-pasti huta (kampung halaman) nenek moyang kita di Mandailing.
Sehubungan itu, selidikilah perihal Bapa atau nenek
moyang kita yang merantau dan seterusnya menetap di Semenanjung.
Nescaya kita akan menemui cerita-cerita yang menarik dan penuh erti
mengenai penghijrahan mereka ke Semenanjung.
Penulis Basyral Hamidy Harahap telah merumuskan
bahawa mereka yang merantau ke mari memiliki sifat-sifat ìkeberanian,
ilmu agama, elmu hadatuon (ilmu pendukunan) dan semangat kemajuan.î
(7)
Umumnya, nenek moyang kita merantau ke Semenanjung
kerana Perang Padri (1816-33), kerana hendak menuntut ilmu agama,
berniaga, membuka huta harajoan (beraja) yang baru, membawa diri
kerana perselisihan faham di kalangan ahli-ahli keluarga atau menghindarkan
penjajahan Belanda.
Seperti kebanyakan masyarakat di dunia, masyarakat
Mandailing adalah patrilineal, iaitu mengikut nasab atau keturunan
sebelah Bapa. Oleh itu, hanya anak lelaki sahaja yang menyambung
marga Bapanya.
Nama marga atau clan name orang-orang Mandailing,
lelaki mahupun perempuan, datang dari Bapa mereka. Dalam pada itu,
anak perempuan yang berkahwin tetap mengekalkan nama marga Bapanya.
Dia tidak memakai marga suaminya seperti perempuan Barat yang mengambil
surname (nama keluarga) suami sesudah berkahwin. (8)
Seperti orang Arab dan Tionghua, orang Mandailing mempunyai pengetahuan
mengenai salasilah mereka sampai beberapa keturunan sekaligus riwayat
nenek moyang mereka. Pada mulanya salasilah sesuatu marga diriwayatkan
turun-temurun secara lisan (tambo atau terombo) kemudian ianya diperturunkan
secara bertulis.
Menurut Abdoellah Loebis yang menulis mengenai
asal-usul orang Mandailing dalam majalah Mandailing yang diterbitkan
di Medan pada awal kurun ke-20: ìYang masih ada memegang
tambo turun-turunannya, iaitu marga Lubis dan Nasution, sebagaimana
yang sudah dikarang oleh Almarhum Raja Mulya bekas Kuriahoofd (daerah)
Aek (Sungai) Nangali...î (9) Ini tidak bermakna marga-marga
Mandailing yang lain tidak memelihara salasilah mereka.
Biasanya di dalam sesebuah kampung di Mandailing
terdapat dua atau tiga marga utama dan marga-marga ini saling kahwin
mengahwini. Adat Mandailing melarang perkahwinan sesama marga, misalnya
Lubis dengan Lubis, dan pasangan yang melanggar aturan ini akan
dihukum.
Marga Lubis ramai menghuni Mandailing Julu (Hulu)
manakala marga Nasution dominant di Mandailing Godang (Besar). Penelitian
salasilah marga Lubis menunjukkan bahawa marga itu mula menetap
di Mandailing Julu pada kurun ke-16. (10)
Dahulu kala, orang Mandailing yang merantau ke
Minangkabau, Sumatra timur atau Semenanjung, apabila mereka bertemu
satu sama lain, pertama-tama mereka ìsorehî atau bertanya
kampung asal dan marga masing-masing. Dengan cara itu, mereka sudah
tahu siapa orang itu dan apa gerangannya.
Pada awal kurun ke-20, ramai orang Mandailing dari
Tapanuli Selatan yang sudah tinggal beberapa keturunan di Sumatra
timur tidak memakai marga mereka kerana mereka bernaung di bawah
kerajaan Melayu yang disokong oleh penjajah Belanda. Begitulah juga
halnya di Malaysia.
Tetapi selepas pendudukan Jepun, revolusi sosial
meletus di Sumatra timur menentang kerajaan Melayu, dan orang-orang
Mandailing pun mula menekankan identiti budaya mereka sendiri. Revolusi
yang sama tidak berlaku di Semenanjung.
Dr. Ariffin Omar dalam bukunya Bangsa Melayu, berkata
bahawa orang Mandailing di Sumatra timur mula memakai nama marga
mereka secara meluas sebagai menolak budaya, identiti dan kerajaan
Melayu, dan serentak itu menemui semula rupa budaya Mandailing mereka.
Seperti kata Arif Lubis, ketua pengarang akhbar
Soeloeh Merdeka dan Mimbar Umum pada zaman revolusi sosial itu,
sekiranya seseorang itu boleh ìmasuk Melayuî mereka
juga boleh ìkeluar Melayuî. (11)
Sejarah menunjukkan bahawa identiti suku kaum bertukar
wajah dengan perpindahan, perkahwinan, penjajahan dan naungan politik.
Bagaimanapun arus kebangunan etnik yang melanda dunia hari ini telah
menghidupkan kembali budaya kaum, terutamanya di kalangan kaum pendatang
dan minoriti.
Nota Kaki
1. Edward McKinnon, Vocabulary: Karo Words of Sanskritic and Tamil
Origin, tidak diterbitkan. T. Iskandar, Kamus Dewan, 1970.
2. Katalog Koleksi Melayu, UKM, 1990.
3. Syarahan Haji Abdullah Abbas Nasution, tidak bertarikh.
4. Temubual dengan Ustadh/Cikgu Dahlan Harun (Lubis) di Kampong
Batu Sembilan, Chemor, Perak.
5. Basyral Hamidy Harahap, Sibulus-bulus, Sirumbuk-rumbuk, 1976.
6. Donald Tugby, Cultural Change and Identity: Mandailing Immigrants
in West Malaysia, University of Queensland Press, 1977.
7. Basyral Hamidy Harahap dan Hotman M. Siahaan, Orientasi Nilai-Nilai
Budaya Batak. Jakarta, 1987.
8. N. Siahaan, Sedjarah Kebudajaan Batak, Medan, 1964.
9. Abdoellah Loebis, Riwajat Mandailing, dipetik dari Mangaraja
Ihoetan, Riwajat Tanah Wakaf Bangsa Mandailing di Soengai Mati,
Medan, 1926.
10. Lance Castles, Statelessness and Stateforming Tendencies among
the Batak before Colonial Rule. Anthony Reid and Lance Castles (editors),
Pre-Colonial State Systems in Southeast Asia, Monographs of MBRAS,
Kuala Lumpur, 1975.
11. Ariffin Omar, Bangsa Melayu Malay, Concepts of Democracy and
Community 1945-1950, Oxford University Press, 1993.
Marga-Marga Mandailing
Menurut Abdoellah Loebis, marga-marga di Mandailing Julu dan Pakantan
adalah seperti berikut: Lubis (yang terbahagi kepada Lubis Huta
Nopan dan Lubis Singa Soro), Nasution, Parinduri, Batu Bara, Matondang,
Daulay, Nai Monte, Hasibuan, Pulungan.
Marga-marga di Mandailing Godang pula adalah: Nasution
yang terbahagi kepada Nasution Panyabungan, Tambangan, Borotan,
Lantat, Jior, Tonga, Dolok, Maga, Pidoli, dan lain-lain.
Lubis, Hasibuan, Harahap, Batu Bara, Matondang
(keturunan Hasibuan), Rangkuti, Mardia, Parinduri, Batu na Bolon,
Pulungan, Rambe, Mangintir, Nai Monte, Panggabean, Tangga Ambeng
dan Margara. (Rangkuti, Mardia dan Parinduri asalnya satu marga.)
Menurut Basyral Hamidy Harahap dan Hotman M. Siahaan,
di Angkola dan Sipirok terdapat marga-marga Pulungan, Baumi, Harahap,
Siregar, Dalimunte dan Daulay. Juga terdapat marga-marga Harahap,
Siregar, Hasibuan, Daulay, Dalimunte, Pulungan, Nasution dan Lubis
di Padang Lawas.
|