|
Kampung Batu Sembilan, Chemor,
Perak
oleh Abdur-Razzaq Lubis
Seperti
Huta Pungkut, kampung nenek-moyang Adam Malik, Kampung Batu Sembilan
telah melahirkan tokoh-tokoh ternama yang boleh dibanggakan oleh
semua keturunan Mandailing di Malaysia mahupun di Indonesia. Anak-anak
kelahiran Huta Pungkut yang terbilang termasuklah Abdul Haris Nasution,
Jenderal TNI yang terkenal itu, Digulis Buyung Siregar, Muhidin
Nasution dan Abu Kasim Dalimunte. (1)Ustad Dahlan Harun (Lubis),
87, warga tertua Kampung Batu Sembilan memberitahu nama Chemor itu
asalnya dari ëcemarí (chemor dalam loghat Perak) kerana
gajah yang lalu-lalang di situ pada zaman silam menyebabkan tempat
itu menjadi berlumpur dan tercemar.
(2)Chemor, yang dahulunya sebuah penempatan pelombongan Cina, pernah
mempunyai tiga perkampungan Mandailing iaitu Kampung Dusun Gelap,
Kampung Tembok Baru dan Kampung Batu Sembilan. Kampung Dusun Gelap
sudah lama pupus. Kampung Tembok Baru pula telah ditukar namanya
kepada Kampung Batu Sebelas Setengah, Jalan Jelapang.
Nama Kampung Batu Sembilan tetap harum semerbak di kalangan orang
Mandailing di Malaysia, biarpun desa kecil itu, kini sepi ditinggalkan.
Menurut Ustad Dahlan, perkampungan Mandailing di
Batu Sembilan itu dibuka oleh datoknya, Ja Bolga, yang juga dikenali
sebagai Abdullah Ja Bolga. Ja Bolga meninggal dunia tanggal 18 November
1921 dan dikebumikan di Chemor.
(3) Rata-rata orang Mandailing di Kampung Batu
Sembilan bermarga Nasution dan Lubis.
Dinamakan perkampungan itu, Kampung Batu Sembilan
kerana ia terletak sembilan batu dari bandar Ipoh, ibu negeri Perak
Darul Ridzuan. Supaya kampung itu tidak disalahkan dengan kampung
batu sembilan yang lain, kedudukan kampung itu dikenal-pasti sebagai
Kampung Batu Sembilan, Jalan Kuala Kangsar menunjukkan arah utara
kampung itu dari Ipoh.
Jelas Ustad Dahlan, orang-orang Mandailing di situ
dahulunya bercucuk-tanam, menangkap ikan di sungai-sungainya, berternak
dan berkebun buah-buahan dan getah. Sememangnya tanah Chemor terkenal
subur seperti yang dilaporkan oleh seorang pekebun Inggeris yang
menjelajah seluruh pantai barat Semenanjung pada suku akhir abad
ke 19.
ìTravelling by easy stages to Ipoh, we passed
on our way to Chumor some of the best soil I had come across in
the peninsulaî.
(4) (Perjalanan mudah berperingkat-peringkat ke
Ipoh, kami melalui Chumor, kesuburan buminya adalah antara yang
terbaik yang pernah saya temui di semenanjung).
Chemor khasnya Kampung Batu Sembilan bukan sahaja
subur buminya tetapi juga subur dengan tokoh-tokoh Mandailing yang
telah membuat nama di negara ini seperti Aminuddin Baki (Lubis),
Abdul Wahab Abdullah (Lubis), Malungun (Amir Hamzah Nasution), Raja
Aziz Addruse (Nasution) dan ramai lagi.
Arwahnya Abdul Wahab adalah seorang penulis sebelum
perang dunia kedua, yang pernah menjadi ketua pengarang akhbar Saudara
di Pulau Pinang. Arwahnya Aminuddin Baki adalah tokoh pendidik kebangsaan
yang terkenal. Malungun, seorang novelis semasa didikan Abdul Rahman
Rahim. Raja Aziz Addruse pula adalah pengerusi Persatuan Kerbangsaan
Hak Asasi Manusia.
Seperti kebanyakan kampung halaman Mandailing di
Semenanjung, Kampung Batu Sembilan hidup segan mati tak mahu, sepi
kehilangan anak-anaknya yang gemilang kepada kota-kota besar seperti
Kuala Lumpur.
Nota Kaki
1. Basyral Hamidy Harahap & Hotman M. Siahaan, Orientasi Nilai-Nilai
Batak Suatu Pendekatan Terhadap Perilaku Batak Toba dan Angkola-Mandailing,
Sanggar Willem Iskandar, Jakarta, 1987.
2. Seorang pengkaji sejarah berpendapat nama Chemor berasal dari
ëjumorí (jemor/jemur). S. Durai Raja Singam, Malayan
Place Names, Port Weld To Kuantan, Singapore, 1939. Cetak ulang,
1957.
3. Dalam Cultural Change and Identity: Mandailing Immigrants in
West Malaysia, University of Queensland Press, 1977, Donald Tugby
menganggarkan tarikh pembukaan Kampung Batu Sembilan Chemor pada
1905.
4. Ambrose B. Rathborne, Camping And Tramping In Malaya, Fifteen
Yearsí Pioneering In The Native States Of The Malay Peninsula,
Swan Sonnenschein & Co., Lim., 1898; Cetak ulang, Oxford University
Press, Singapore, 1984.
|